Thursday, June 16, 2016

Kisahku Pada Hari Ini

Sedang aku duduk bersama-sama adik-beradik ku menonton televisyen, tiba-tiba terlihat ambulan berhenti di hadapan jiran rumah kami. Lantas hati aku tertanya, siapa yang sakit? Aku memperlahankan suara televisyen. Aku dan adik-adikku menunggu sekiranya ada panggilan dari jiran. Tertanya datang jiran di hadapan rumahku bertanya, mana mak? Aku lantas memanggil mak aku. Kemudian mak aku memberitahu bahawa pak cik iaitu ayah mertua kepada jiranku sudah meninggal dunia. Mak lantas pergi melawat rumah jiran dan membantu apa-apa yang patut. Jiran-jiran di sekeliling juga membantu.

   Saat mak aku memberitahu pak cik itu meninggal, entah kenapa hati aku rasa sayu. Seperti mana hati aku rasa semasa arwah atuk aku meninggal dulu. Pilu dan sedih. Menurut mak aku, jiran aku itu hanya mempunyai dua orang adik-baradik. Ibunya baru sahaja meninggal dunia tujuh bulan yang lalu dan kini ayahnya pula meninggalkan mereka. Mereka dua-dua perempuan. Isteri kepada jiran aku itu masuk hospital kerana tidak berapa sihat. Ya, Allah! Beratnya dugaan mereka adik-beradik. Pada tahun ini, mereka berdua beraya buat pertama kali tiada kedua-dua ibu bapa mereka.

   Timbul di dalam hati aku rasa bersyukur kerana mempunyai ibu, ayah dan adik-beradik. Pagi ini, jiran-jiran dan kawan kepada jiran datang memandikan jenazah pak cik itu. Aku melihat dari jauh. Sekejap sahaja jenazahnya sudah siap dikapankan. Begitu mudah menguruskan jenazahnya. Baik-baik sahaja cara pengurusannya. Pagi ini juga cuaca mendung dan pada malam semalam selepas pak cik itu meninggal. Selepas tengah malam, hujan turun dengan sangat lebat. Seakan-akan mengiringin pemergian pak cik itu.

   Usai sahaja mengkafankan jenazah, solat jenazah terus dilaksanakan di dalam rumah tersebut. Kemudian jenazah di kebumikan di kampung halaman pak cik tersebut di mana terletaknya berdekatan dengan kubur arwah isteri pak cik itu. Pak cik itu meninggal pada malam jumaat, dikebumikan pada hari Jumaat, pada bulan Ramadhan dan ibu aku kata sepanjang ibu meneman adik kakak tu bersama jenazah, ibu aku terbau wangian pada hujung kepala jenazah itu. Mungkinkah ini yang dimaksudkan tanda kematian seseorang itu dalam keadaan husnul khotimah? Sesungguhnya rahsia itu hanya ada pada Allah.

 Semalam baru sahaja aku cakap pada anak murid aku, kita hidup sekali sahaja di dunia ini. Setiap hari ada orang yang mati dan setiap hari ada zuriat yang dilahirkan ke dunia. Begitulah lumrah hidup manusia. Moga roh pak cik itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Aminnnn......

No comments:

Post a Comment