Mardhiah mempercepatkan langkahnya ke tempat menunggu bas. Melihat pada jam, sudah pukul 7.45 pagi. Dia merasa gelisah kerana 15 minit lagi waktu kerjanya akan bermula. Masa berlalu dan tidak menunggu. Pepatah arab ada menyebut, 'masa itu umpama pedang, jika kita tidak memotongnya, ia kan memotong kita'. Mardhiah cuba mengambil inisiatif lain. Dia menuju ke bahagian tempat menunggu teksi. Dia rela berkorban duit daripada datang lambat ke tempat kerja. Sejak kecil Mardhiah diajar ilmu agama tapi sayangnya dia tidak lagi memakai tudung walaupun umurnya sekarang sudah mencecah 20 tahun tetapi dia tetap menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Dia memang ada niat untuk memakai tudung tetapi dia merasakan belum sampai masanya lagi.
"Pin...pin...", bunyi hon teksi memanggilnya. Dia termenung seketika mengingati dosanya dahulu. Dia terasa ingin berubah tetapi dia tidak tahu siapakah yang bakal menjadi pengubah hidupnya. Masa dia ingin memasuki teksi, dia merasakan di tempat duduk belakang teksi itu ada seorang perempuan yang duduk di sebelahnya. Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an juga tetapi nampak lebih tua sedikit daripadanya. Wanita itu memandang Mardhiah.
"Maafkan saya. Saya sebenarnya sudah lambat untuk pergi ke temu duga. Boleh saya naik sekali dengan awak?", wanita itu meminta maaf sambil tersenyum kepada Mardhiah. Mardhiah membalas senyuman wanita tersebut dan mengangguk tanda setuju.
"Nama saya Siti Aisyah. Saya nak pergi temu duga di Syarikat Zurin Sdn. Bhd. hari ini. Nama awak siapa?", Aisyah memulakan perbualan di dalam teksi yang sedang laju menerjah kepekatan pagi.
"Nama saya Siti Mardhiah Syuhada dan saya bekerja di Syarikat One Sdn. Bhd.. Rasanya ia berdekatan dengan syarikat yang awak nak pergi temu duga itu", Mardhiah membalas jawapan Aisyah sambil memerhatikan Aisyah dari atas ke bawah. Aisyah sangat cantik orangnya. Secantik bidadari syurga. Detik hati Mardhiah. Bertudung labuh, berbaju kurung, sopan dan menutup aurat. Pakaian hanyalah biasa tetapi apabila Mardhiah memandang dia seperti ingin memandang berkali-kali. Terdetik dihatinya 'aku sebagai perempuan biasa pun asyik ingin memandangnya. Apatah lagi seorang yang bernama lelaki.'. Bak kata orang, 'sedap mata memandang'. Siti Aisyah. Namanya seindah orangnya. Tetapi aku? Dia bertanya dan bermuhasabah diri dalam masa 15 minit itu.
Destinasi yang ingin ditujui telah pun tiba. Aisyah dan Mardhiah turun di tempat yang sama. Mereka berkongsi duit untuk membayar tambang. Aisyah dan Mardhiah menuju arah yang berbeza. Mereka tidak sempat bersembang panjang kerana masing-masing mengejar masa yang makin membunuh mereka.
X X X X X X X X X X X X
Jam di dinding pejabat Mardhiah menunujukkan pukul 1.00 petang. Masa rehat untuk waktu pejabat sudah pun tiba. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua pekerja yang berada di pejabat itu. Pejabat menjadi sunyi sepi dan cuma tinggal dua orang sahaja yang belum lagi pergi keluar rehat iaitu Mardhiah dan Azmeer. Meja Azmeer berhadapan dengan meja Mardhiah. Azmeer merupakan kawan yang paling rapat dengan Mardhiah. Sewaktu rehat, Azmeerlah yang selalu menemaninya makan. Azmeer adalah antara lelaki yang menjadi rebutan wanita di pejabat itu kecuali Mardhiah sahaja yang tak tergila-gilakan dia. Bagi Mardhiah dia hanyalah kawan dan tidak lebih daripada itu. Perangai yang paling tidak dia suka pada Azmeer ini ialah suka bertukar-tukar teman wanita dan suka mendekatkan dirinya dengan wanita yang bukan muhrim.
"Madi, jom kita keluar pergi makan tengah hari bersama. Aku laparlah", Mardhiah yang sedang leka menyiapkan kerjanya yang lagi sedikit hendak siap terkejut kerana Azmeer betul-betul berada di sebelah mukanya. Mardhiah memusingkan tempat duduknya.
"Woi, kau ni nak ajak aku makan ke? atau nak goda aku. Yang kau duduk dekat-dekat sangat ni apa pasal?", merah muka Mardhiah menahan marah yang dikatakan tahap 'Gamma Ray'. Azmeer membuat muka tembok sambil memegang bahu Mardhiah.
"Kau nak jadi teman wanita aku tak, Madi? Aku sanggup lakukan apa-apa sahaja untuk kau. Aku sanggup tinggalkan teman wanita aku yang lain untuk kau. Kalau kau jadi teman wanita aku", Azmeer menyentuh tangan Mardhiah. Mardhiah yang mendengar kata-kata Azmeer, terus menepis tangannya. Azmeer ni waras ke gila?. Detik hati kecil Mardhiah.
"Kau ni buat lawaklah . Amir. Kalau nak bergurau pun, janganlah bergurau bab-bab ni. Lemahlah aku. Hahahaha.....", Mardhiah membalas kata Azmeer. Muka Azmeer menjadi serius dan makin mendekati kerusi yang Mardhiah duduk.
"Aku seriuslah. Kalau boleh, kahwin dengan kau pun aku mahu. Lelaki mana yang tak terpikat dengan kau ni. Secantik bidadari. Rambut ikal mayang, kulit putih, mata kau, muka secantik bulan dan semua yang ada pada kau semuanya indah", Azmeer memberikan kata-kata indah kepada Mardhiah sambil tangannya cuba mendapatkan tangan Mardhiah.
Mardhiah yang terleka dengan kata-kata Azmeer seolah-olah terasa dibuai mimpi. Mardhiah tersedar bahawa lelaki ini hanyalah ingan mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dia segera menepis tangan Azmeer yang semakin menghampiri tangannya. Dia bingkas bangun dan menolak Azmeer ke belakang denga sekuat tenaganya. Azmeer ni dah melampau. Marah hati Mardhiah. Dia sudah tidak boleh lagi bersabar dengan sikap Azmeer yang semakin menjadi-jadi. Tidak cukupkah lagi Azmeer mempermainkan hati wanita di luar sana? Kenapa kawan dia sendiri pun hendak dijadikan mangsa? Detik hati Mardhiah. Dasar lelaki penipu! Jerit batin Mardhiah.
"Kau ingat aku ni perempuan murahan ke? Senang untuk kau pegang, senang untuk kau belai dengan mudah, senang untuk kau jadikan permainan. Kau ingat aku tidak ada harga diri ke?", Mardhiah jerit kepada Azmeer. Titisan air mata Mardhiah jatuh. Dia sudah tidak tahan lagi dengan gurauan Azmeer. Selalunya Azmeer biasa sahaja dengan dia tetapi hari ini Azmeer sangat berbeza.
Azmeer yang ternampak air mata Mardhiah, mulai timbul rasa bersalah dalam dirinya. Mardhiah sangat cantik. Dia tidak sanggup lelaki lain mendapatkan Mardhiah. Azmeer mendekati Mardhiah dengan niat ingin memujuknya. Tetapi semuanya telah terlambat.
"Kau jangan dekat dengan aku! Mulai hari ini dan saat ini, persahabatan kita putus. Aku tidak pernah mengenali orang yang bernama Aiman Azmeer Bin Aiman Hakim dalam hidup aku bekerja di sini. Kau yang aku percaya tetapi akhirnya kau yang mengkhianati aku.", Mardhiah menangis sambil mengemas segala peralatan pejabatnya. Azmeer tidak berani menutur langkah ke arah Mardhiah. Dia merelakan sahaja perbuatan Mardhiah. Dia tahu Mardhiah sangat marah pada dirinya. Dia ingat Mardhiah sangat senang disentuh seperti teman wanitanya yang lain. Dia menyangkakan dengan kehidupan Mardhiah seperti wanita yang pernah menjadi miliknya dahulu, dia mudah untuk mendapatkan Mardhiah.
"Aku nak keluar dari pejabat ini. Besok aku akan hantar surat berhenti kerja. Kalau bos tanya aku kat mana? Jawablah dengan jujur. Aku tidak suka orang yang tidak jujur dalam apa-apa sahaja perkara. Aku pergi dulu.", Mardhiah mengambil barangnya dan melangkah keluar dari pejabat itu. Azmeer terkedu. Dia tidak mampu bercakap apa-apa kerana pendirian wanita itu terlalu kuat.'Siti Mardhiah Syuhada Binti Huzairi Amin'. Dia akan mengingati wanita yang telah berjaya memenangi piala hatinya tanpa disedari. Dia akan cuba berusaha untuk mendapatkan Mardhiah kembali dan menjadi peneman hidupnya sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir.
































